Friday 25 May 2018

Deria Pendengaran itu Nikmat dari yang Esa - Ramadhan Mubarak


Ramadhan tiba..Ramadhan tiba...
Marhaban Ya Ramadhan... Marhaban Ya Ramadhan... Marhaban Ya Ramadhan... Marhaban Ya Ramadhan...
-Nyanyian Opick-

Kini Ramadhan sudah tiba dan seluruh umat Islam akan menjalani rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa selama sebulan. Ramadhan la saat yang ditunggu- tunggu kerana ibadah yang dilakukan dalam bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang berganda serta banyak lagi kelebihan serta fadhilat Ramadhan nuzul Quran dan malam lailatul Qadar. Yang pasti, kita semua akan meraikan kemenengan Ramadhan semasa Aidilfitri nanti.  

Umumnya, semua muslimin dan muslimat tahu yang berpuasa adalah menahan diri daripada lapar dan dahaga serta hubungan suami isteri dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari. Sebenarnya, puasa ni bukan itu sahaja, tetapi deria kita pun perlu berpuasa.. Deria berpuasa? Macam mana tu?

Dalam artikel yang ditulis oleh Ustaz Iqbal Zain, menjelaskan bahawa Imam Al-Ghazali menyebutkan bahawa puasa mempunyai 3 tingkat iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus dari yang khusus. Jadi, puasa deria adalah termasuk dalam puasa khusus iaitu mencegah pendengaran, penglihatan, lidah, kaki, tangan dan seluruh anggota tubuh lain daripada dosa.

Antara tips puasa deria adalah mendengar, melihat, bercakap perkara yang baik- baik serta menggunakan kaki ke tempat yang baik dan menggunakan tangan untuk perkara yang baik. Contoh perkara yang baik adalah seperti mendengar ceramah dan hadir ke majlis- majlis ilmu dan aktiviti- aktiviti yang bermanfaat.

Selain tips kesihatan, misalnya, cara penjagaan telinga dan pendengaran seperti larangan daripada menggunakan ‘cotton bud’ untuk mengorek telinga dan jauhkan diri daripada terdedah kepada bunyi bising yang agak lama, kita juga perlu mengamalkan tips puasa deria bagi mensyukuri nikmat yang Allah telah kurniakan. 

Allah telah berfirman dalam surah Fussilat ayat 20,
Maksudnya: “ Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit- kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan”.
Ayat ini menjelaskan bahawa, deria dan anggota badan kita akan menjadi saksi di akhirat atas segala yang telah kita lakukan semasa hidup di dunia.
Justeru, marilah kita semua menjaga deria dan anggota badan kita seiring dengan apa yang dituntut dan diajar dalam agama Islam. Hargai semua yang dikurniakan oleh Allah sebaiknya.  

Wallahu’alam. 










Shahirah Ismail
Audiologist 
Eartistic Kota Bharu, Kelantan